31 March 2011

Bermulanya Episod Baru

Lama sudah blog ini dibiarkan sendirian tanpa sebarang karangan dan buah bicara untuk tatapan para pembaca. Terkadang kita selalu membiarkan masa datang dan pergi, tetapi kita juga sepatutnya mengejar dan memenuhi masa yang ada untuk dimanfaatkan. Tahun ini rutin harian agak berbeza berbanding waktu dan masa yang ku habiskan sebelum ini. Bertahun menjadi pelajar, masih lagi tidak jemu-jemu dirasakan. Andai esok berpeluang lagi, ingin terus aku bergelar penuntut ilmu agar ikan-ikan di laut jua para malaikat memohon keampunan untuk penuntut ilmu. Nak diharapkan istigfar yang dilafazkan setiap hari, mungkin tidak sebanyak bilangan bintang di langit yang bergemerlapan. Hanya majlis ilmu yang mampu menjadi sandaran kepada diri yang sentiasa melakukan dosa. Menuju ke Alor Star setiap hari dari Sanglang, agak lama perjalanan yang dilalui. 30 minit bukanlah terlalu lama atau sekejap, tapi sudah menjadi lumrah musafir adalah sesuatu perjalanan yang memenatkan. Tapi tak lah sejauh mana...jauh lagi perjalanan orang yang sentiasa berhadapan masalah jalan yang jem setiap hari. Tugas mendidik dan mengajar adalah tugas yang mulia. Tatkala menjadi tenaga pengajar baru baru ku sedar menggalas tugas sebagai pendidik dan pendakwah bukan sesuatu yang mudah. Apatah lagi menyampaikan ilmu kepada para pelajar yang berlainan bangsa banyak pula ragamnya dan pelbagai persoalan yang perlu dijawab dan difahami. Terkadang terasa diri ini terlalu kerdil untuk berhadapan dengan semua ini.Tetapi ianya perlu digalas dengan sempurna dengan segenap persiapan.Sekalipun diri ini bukanlah yang selayaknya. Kata para alim ulama, Islam tidak mungkin tersebar kecuali melalui lidah-lidah para pendakwah yang ikhlas, sejauh mana kebenarannya diukur? Sudah tentu para pembaca mampu memberikan pandangan sendiri. Tetapi kalimah inilah yang mampu membakar semangat ku tatkala diri terasa lemah. Lemah melihat keadaan pelajar yang beragama Islam datang mencari ilmu dan degree dari segenap negara yang dikenali sebagai negara orang- Islam tetapi tidak mampu membaca al-Quran dengan baik….sedih melihat keadaan umat Islam yang ditindas dan dijajah sehingga jajahan yang dilakukan oleh barat telah banyak menggugat dan melemahkan umat Islam.Apa pun jua jajahan itu sudah pun berlaku, sekalipun keadaan mereka bagitu, usahan untuk member kesedaran dan kefahaman Islam yang sebenar perlu disampaikan agar mereka terus bangga bergelar sebagai muslim serta tidak menolak apa jua kebaikan dari segi hukum-hakam serta apa jua yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah dan mudah-mudahan mereka bukanlah pula kelak menjadi orang-orang yang menentang Islam. Inilah episod yang semakin mencabar yang perlu ku lalui bermula pada tahun ini, ianya sangat memerlukan kekuatan dan motivasi yang berterusan ke dalam diri...agar sentiasa bersemangat..