07 April 2010

Robin Hood Zaman Moden

Tentu pembaca pernah mendengar, membaca atau menonton cerita Robin Hood,beliau sangat terkenal dan menjadi sejarah dalam diari kehidupan rakyat Inggeris.Seorang pemuda yang sangat prihatin dengan nasib rakyat jelata yang miskin hingga sanggup mencuri dan membahagikan pendapatan hasil curi itu kepada orang-orang miskin.Nampak sepinas lalu macam hebat, kisah-kisah begini banyak dilihat melalui kaca TV terutama sekali filem Hollywood dan Bollywood.Ibarat hero yang miskin sanggup bekorban apa saja untuk memenangi hati wanita idaman dan juga dalam menangani nasib masyarakat.
Namun begitu pada masa sekarang, mungkin juga terdapat orang-orang Islam sendiri mengikut cara seperti ini dalam memenangi sesuatu kemelut dan masalah rakyat.Mungkin ada tapi kurang jelas dan kelihatan,tapi lebih jelas dilihat melalui penyelidikan dan siasatan.Pada saya termasuk dalam ketogeri Robin Hood juga orang yang menabur duit untuk meraih sesuatu kemenangan, sama ada dalam pilihan raya dengan menggunakan harta rakyat dan mengagihkannya di kalangan para pengundi.Perkara ini bukan sesuatu yang asing lagi bagi rakyat Malaysia sekarang apatah lagi dalam kebanyakan isu politik.Atau antara contoh yang lain, melambatkan bayaran gaji bagi sesetengah pekerja dan dalam masa yang sama majikan menggunakan duit tersebut untuk kepentingan yang lain.
Kisah Robin Hood tak mungkin boleh menjadi teladan untuk umat Islam.Apa pun jua niat Robin Hood untuk membantu rakyatnya memang sesuatu yang baik.Tetapi perkara itu tidak mungkin membawa kebaikan pada kalangan orang Islam yang semestinya bertindak berdasarkan niat serta sentiasa memelihara harta sesama umat Islam.Bertepatan dengan peri bahasa Melayu "Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian" Bukan bersenang-senang dahulu bersakit-sakit kemudian hari di akhirat. Kemiskinan rakyat pada hari ini boleh dilihat di mana sahaja.Sekalipun setengah orang berfahaman bahawa kita rakyat Malaysia perlu bersyukur dengan kita hidup penuh aman dan makmur,tetapi dalam masa yang sama masih ramai rakyat jelata yang tidak merasai keadilan yang cuba disempurnkan oleh para pemimpin.Atau masih ramai rakyat bukan Melayu masih merana di dalam estet-estet negara.Andai terlalu banyak projek yang ingin dijalankan sehingga boleh melemahkan ekonomi rakyat, itu menunjukkan pemerintah berlebih-lebihan dan membazir.Sedangkan ramai bilangan rakyat yang dibuang kerja dan pinjaman pelajar untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat menara gading disekat-sekat dan setengahnya ditolak.Setengahnya pula terpaksa mena.ggung beban hutang riba yang kian bertambah,sekalipun masih diusia muda.
Sabda nabi S.a.w : "Sesiapa yang tidak mengambil berat dengan urusan orang-orang Islam,maka dia bukan di kalangan umatku"
Tak perlu kita menyatakan bahawa " Aku tak suka politik, poltik itu kotor, politik banyak masalah dan sebagainya,tetapi ingatlah pesan Rasulullah seperti di atas.Sesungguhnya kehidupan kita seharian sentiasa dilingkungi perihal umat Islam,menjadi kewajipan kita untuk saling tegur-menegur, ingat-mengingati dan sama memelihara hak-hak sesama muslim.Bukan pula menzalimi mereka sekalipun mereka tidak menyedarinya. Atas kesedaran yang ada,marilah kita mengembalikan kegemilangan Islam dan memuliakan umat ini dengan kemualiaan Islam pada tangan pemimpin yang amanah yang memelihara harta rakyat.

05 April 2010

Ujian dan Iman

Ketika menyedari sesuatu ujian berlaku pada diri,setiap insan akan mudah mengingati pencipta mereka,itulah hikmah di sebalik ujian.Sedar atau tidak manusia akan kembali mengingati Allah.Sekalipun selama ini,dia sentiasa dalam keadaan lalai dan leka.Bersyukurlah kerana diberi ujian,sedang ramai manusia yang terus leka dengan nikmat yang diberikan tanpa sebarang ujian.Bahkan mereka bangga dan megah dengan kehidupan mereka tanpa sebarang kesulitan mencapai impian hidup.
Senyumlah pada ketabahan di hati yang gembira menerima ujian dan pentarbiyahan dari Allah.Senyumlah Dia maha Pengasih lagi Penyayang,Senyumlah kerana ujian yang datang adalah sebahagian bentuk penyucian yang diinginkan Allah kepada hati dan jiwa.Andai sakit yang melanda sekalipun pedih kakimu tatkala terpijak duri ianya merupakan kaffarah kepada dosa.Perkara ini juga pernah disebut oleh RasulMu yang mulia.Usah risau pada kesedihan yang melanda jiwa kerana kesedihan yang melanda itu andai disertai dengan sabar padanya ganjaran dan penyucian pada dosa-dosa yang pernah dilakukan.Sekalipun kita bukanlah orang yang selalu menjadikan istigfar sebagai zikir yang tidak pernah lekang dari lisan saat susah mahupun senang.Tetapi kehadiran ujian itu menjadikan kita mengingati Allah setiap saat di akal dan fikiran sekalipun tidak disebut melalui lidah.Justeru perkara yang diingati tidak semestinya disebut,cukuplah sekiranya ianya sentiasa bermain di dalam minda,bahawa jiwa kita sentiasa mengingati Allah.Ianya juga merupakan zikir yang tidak langsung.Itulah hikmahnya ujian Allah.
Tetapi zikir seperti ini, menjadi sebahagian dari amalan orang-orang yang dekat kepada Allah (al-Muqarrabin)yang mana setiap saat akal dan hati mereka sentiasa mengingati Allah,hinggakan keadaan itu menumbuhkan rasa taqwa mereka kepada Allah.Sekalipun mereka tidak ditimpa musibah.Berbeza dengan setengah orang yang hanya mengingati Allah saat waktu ditimpa ujian sahaja.Tetapi saat senang kembali lupa dan jauh dari Allah.Zikir menghidupkan hati orang-orang beriman dan menghidupkan roh orang-orang beriman bahawa setiap tindak-tanduk mereka sentiasa diawasi Allah sehingga tumbuh dan subur di hati-hati mereka iman dan ihsan.Dengan wujudnya kedua-dua sifat ini, hati mereka menjadi lembut, dan mudah bersimpati kepada orang-orang miskin,fakir, anak-anak yatim dan golongan yang lemah lagi ditindas.Mereka juga akan mudah terusik dan tercabar apabila melihat maksiat yang berlaku dan tidak mampu berdiam diri melihat kezaliman.Mereka akan mula sedar dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka,hati mereka hidup di tengah-tengah kehidupan manusia yang lalai dan leka.Mereka juga akan sentiasa berkata benar sekalipun pahit.Itulah hasil dari iman.
Di manakah iman itu? Wujudkah iman seperti itu pada diri dan hati ini?Sama-samalh kita bermuhasabah,andai ianya tiada atau jauh dari diri kita,maka carilah pendekatannya.Allah tidak pernah mempersiakan permintaan hambanya.Yakinlah berdoalah selalu,Dia maha Pengasih lagi Penyayang.Ya Allah hadirkanlah iman di hati ini,kekalkan ia di hati ini sepertimana Kau kekalkan Cintamu kepada kekasihMu iaitu nabi Muhammad SAW.