05 March 2010

Dialah Kekasih Yang Maha Pengasih

Al-hamdulillah pada tahun 1431H ini kita masih lagi berkesempatan berada dihari dan bulan kelahiran Rasulullah SAW iaitu Rabiul Awwal.Anak-anak muda di zaman sekarang,fahamkah mereka cerita tentang kelahiran nabi SAW.Atau mereka hanya fahami bahawa hari maulidur Rasul adalah hari semua staf-staf yang bekerja di sektor kerajaan membuat perarakan berjalan di sekitar Putra Jaya.Kalau hanya sekadar itu tahap pemikiran mereka,itu beerti kisah kelahiran baginda SAW sebagai rahmat untuk sekelian alam masih tidak difahami.
Dialah seorang anak yang dilahirkan oleh ibunya Aminah dalam keadaan yatim.Diberi nama sebagai Muhammad dan disebut juga di dalam Taurat dengan gelaran Ahmad.Dibesarkan dalam keadaan yatim,seorang anak yatim yang tabah,optimis,bersemangat dan penuh motivasi.Melayari kehidupan baginda bersama ibu susuannya Halimah al-Saadah dan bapa saudaranya Abu Talib.Membesar ketika muda remaja dalam keadaan baik,walaupun baginda dibesarkan dalam keadaan masyarakat masih ditenggelami alam Jahiliyyah.Bermula dari usia remaja beliau hidup dengan penuh berdikari, bertanggungjawab walaupun terhadap diri sendiri dan tidak suka menyusahkan sesiapa.Baginda SAW dikenali juga sebagai al-Amin seorang yang amanah walaupun baginda bekerja sebagai seorang peniaga atau mengambil upah sebagai pengembala kambing.Berkahwin di sekitar umur baginda 25 tahun dengan seorang wanita yang juga majikannya.Seorang yang berakhlak mulia dan mempunyai akhlak yang paling mulia tatkala bergaul dengan ahli keluarga.Sangat mengasihi orang-orang fakir dan miskin dan sangat merendah diri.Membawa rahmat kepada seluruh alam bermula dari hari kelahiran sehinggalah menjadi pembela dan pembawa syafaat kepada umat baginda SAW di hari kiamat.Dialah Kekasih Allah Rasulullah kepada yang Maha Pengasih iaitu Allah SWT.
Pusaka yang paling bernilai yang tinggalkan oleh bagin SAW kepada umatnya ialah kitab al-Quran dan Sunnah baginda yang mana sekiranya kedua-dua pusaka ini dipegang dan diamalkan oleh setiap umat baginda,mereka tidak akan sesat selama-lamanya.Kebiasaan di hari maulidur rasul corong-corong TV kedengaran nasyid-nasyid selawat,tak lupa pula kumpulan RAIHAN menjadi jemputan untuk melagukan bait-bait selawat.Dalam masa yang sama ada juga program JOM heboh diacarakan pada hari maulidul rasul beserta konsert pada minggu yang lalu.Acuan sekularisme menjadi acuan utama masyarakat kita di Malaysia.Di pagi hari menjadi muslim yang berarak di perarakan mengingati Maulidur Rasul malamnya pula menghiasi diri dengan konsert.Di mana kerinduan umat ini pada Rasul mereka.Atau hari ini berarak, namun pada esoknya masih masih mengekalkan amalan riba,rasuah,pecah amanah,zalim-menzalimi,khianat-mengkhianati,fitnah-memfitnah,menyembuyikan kebenaran walaupun seorang hakim dan sebagainya.Kesemua perkara ini dilakukan tidak lain hanyalah bertujuan untuk mengharapkan redha manusia tetapi masih tidak sedar dalam masa yang sama mereka telah mengetepikan keredhaan Allah dan Rasul.Ya Allah bagaimana nanti bila saat betemu denganMu tatkala mengenangkan segala apa yang dilakukan ini.Moga Allah sentiasa memelihara orang-orang yang mengharapkan keredhaanNya dan memberikan kebahagiaan kepada mereka yang mengharapkan redhaNya di dunia dan akhirat.
Teringat pula sebuah nasyid yang berbunyi.Malu rasanya mengatakan cinta kepada kekasih Allah,kerana Dia insan mulia sedangkan diriku insan biasa....Terlalu jauh perbezaan antara kecintaan baginda SAW kepada umatnya berbanding kecintaan umat baginda kepada suruhan dan perintah baginda....di manakah kita sebenarnya,belumkah lagi sinar cahaya hidayah Allah menerjah ke dalam hati.Ataupun kita sendiri yang tidak mencari sinar yang diharapkan Nabi SAW.Sekalipun kita mengetahui antara ungkapan kalimah terakhir di hujung helaan nafas baginda hanyalah kalimah "Ummati" Umatku....