09 September 2010

Eid Mubarak

Selamat Hari Raya Aidilfitri,Maaf Zahir dan Batin

05 September 2010

Transit di Ramadhan

Al-Hamdulillah kita berada di pertengahan bulan yang penuh barakah, setia orang menjalankan ibadah pada bulan ini dengan pelbagai cara.Yang paling jelas pada mereka yang berusaha mengkhatamkan al-Quran, ada yang menjalankan program secara tilawah,ada yang tadarus dan juga tadabbur. Setiap insan yang membaca al-Quran semestinya mereka membaca sambil menyingkap setiap isi yang ada di dalam al-Quran untuk dihayati.Itulah satu usaha yang paling benilai selain dari hanya membaca tetapi ditambah pula dengan memahami.
Bersama flight al-Furqan, al-Burhan atau al-Quran, sedar atau tidak perjalanan bermula dengan al-Fatihah,membawa kita terus belayar ke arah satu destinasi yang mana selama pelayaran itu, kita dapat melihat dan menemui pelbagai kisah yang menarik. Terlalu banyak tempat yang kita transit. Segalanya dibentangkan oleh Allah supaya kita dapat mengambil iktibar dari setiap perjalanan tersebut. Bersama kembara al-Quran kita dibawa oleh Allah melihat kisah kehidupan orang yang soleh dan segala nikmat yang Allah kurniakan kepada mereka di dunia dan akhirat,begitu juga dengan golongan yang melanggar perintah Allah, tersurat sudah segala azab Allah buat mereka, kecuali mereka yang bertaubat.
Kisah para solihin,sobirin,mukhbitin, muqarrabin, muttaqin telah di sebut sebagai golongan yang muhsinin, bahkan terlalu banyak ayat Allah yang menyebut bahawa Allah sangat menyukai golongan yang muhsinin.Siapakah mereka yang disebut-sebut oleh Allah sebagai orang-orang yang baik,mereka adalah para anbiya, ahli syurga dan mereka yang sentiasa beramal dengan perintah Allah. Pernah tak kita terfikir keunikan kahidupan para anbiya yang dijanjikan syurga oleh Allah, atau kisah para sahabat dan solihin yang lainnya. Kebanyakan para nabi berhadapan dengan pelbagai ujian dari Allah, tetapi mereka juga diberikan jalan keluar dari setiap ujian dan masalah yang dihadapi.Hal ini juga menjelaskan kepada kita setiap kesulitan itu bersamanya jalan keluar atau kesenangan yang tidak disangka-sangka.Lihat lah pada kisah Yunus a.s dengan tasbih dan zikir yang dibasahi oleh lidahnya,tatkala berada di dalam perut ikan Paus, baginda terselamat dari segala bahaya yang bakal menimpanya. Nabi Yusof pula terpisah dari keluarganya sendiri disebabkan sikap adik-beradiknya sendiri. Saat baginda dibuang di dalam perigi ketika diusia kanak-kanak, baginda hanya mengharapkan pertolongan Allah dengan penuh kesabaran, tatkala baginda selamat dari ujian pertama di usia seperti itu,ujian yang lebih besar tetap melanda beginda, tatkala ibu angkatnya sendiri yang mengoda dan dan mengajak baginda melakukan perkara keji dan munkar.Namun baginda tatap berjaya melepasi ujian yang getir itu, dan juga berjaya menyucikan maruah baginda setelah kebatilan dapat dikalahkan,begitu juga terhadap sikap saudara-maranya yang kembali menyerah dan mengaku kesalahan yang mereka lakukan ketika baginda masih kanak-kanak.Disebutkan di dalam al-Quran di dalam surah Yusuf yang mana baginda menjelaskan bahawa persengketaan dan permusuhan yang berlaku di antara baginda dan abang-abangnya adalah disebabkan ganguan syaitan yang mencetuskan permusuhan sesama umat Islam.Al-hamdulillah berkat kesabaran yang bertahun-tahun baginda nabi Yusof dapat kembali menemui ayahnya nabi Yaakub yang juga disifatkan di dalam al-Quran sbagai seorang hamba yang bersabar.
Kisah demi kisah digambarkan al-Quran kepada umat Islam, agar mereka menggunakan akal tatkala membaca ayat-ayat yang suci itu.Begitu juga gambaran geografi ataupun tempat yang disebut di dalam al-Quran.Walaupun kita membaca sebuah kitab dan ayat,tetapi pembacaan itu membawa kita pergi begitu jauh, terkadang ke Palestin, Mekah,Mesir, Madyan dan banyak lagi.Adakala kita dibawa melihat perkara-perkara yang sedang berlaku dalam kehidupan manusia seharian,adakala kita bertemu dengan gambaran kehidupan golongan yang beroleh kebahagiaan di akhirat begitu juga sebaliknya.Terkadang kita bertemu penemuan-penemuan sainstifik pada ayat-ayat yang menjelaskan keagungaan ciptaan Allah, segalanya terlalu unik dan begitu unik sekali.Hukum-hakam berkaitan kehidupan dalam masalah syariah dan akhlak juga diperolehi di sini. Segalanya maklumat yang terkandung di dalamnya terlalu padat dan tepat, jangkauan penemuan yang ada di dalam al-Quran lebih jauh dari penemuan yang didapati dari bantuan Google search.
Beruntunglah jiwa-jiwa yang mendapat taufiq dan hidayah Allah ketika mereka membaca al-Quran,apatah lagi pada bulan yang Ramadhan yang mulia ini.Selama Sebulan anda telah mendapat pelbagai ilmu dan makrifah, sekiranya bacaan ayat-ayat suci diulang-ulang, pengetahuan dan ilmu seseorang akan lebih bertambah dan terus bertambah. Orang yang selalu membaca al-Quran, mereka sendiri akan merasai perubahan yang berlaku dalam diri mereka. Cuba anda bayangkan ketika di saat anda sibuk, lalu anda meluangkan sedikit masa untuk bacaan al-Quran dan menghayatinya, sudah tentu anda akan merasakan sesuatu ketenangan, hati dan jiwa anda dibawa Allah berada di sesuatu tempat,ibarat anda transit di sesuatu tempat sambil melihat,meninjau keadaan dan apa yang ada di sekitar tempat tersebut. Begitu juga pada seseorang yang berada di tempat yang tertutup, seperti di dalam hutan atau penjara,dengan membaca al-Quran, akal dan jiwa mereka mampu berjalan begitu jauh ibarat mereka mampu memecahkan dinding-dinding penjara di samping melihat kebesaran Allah, kisah-kisah orang yang sabar dan soleh,azab dan nikmat Allah dan sebagainya yang terlalu menarik.
Sama-samalah kita mengambil iktibar dari Ramadhan dan meneruskan ibadah kita di bulan yang lain serta istiqamah dalam membaca al-Quran pada setiap hari. Percayalah semakin kerap kita membaca dan berhibur dengan al-Quran semakin luas penerokaan dan penemuan kita pada setiap hikmah dan iktibar yang tersimpan dalam al-Quran.