05 April 2010

Ujian dan Iman

Ketika menyedari sesuatu ujian berlaku pada diri,setiap insan akan mudah mengingati pencipta mereka,itulah hikmah di sebalik ujian.Sedar atau tidak manusia akan kembali mengingati Allah.Sekalipun selama ini,dia sentiasa dalam keadaan lalai dan leka.Bersyukurlah kerana diberi ujian,sedang ramai manusia yang terus leka dengan nikmat yang diberikan tanpa sebarang ujian.Bahkan mereka bangga dan megah dengan kehidupan mereka tanpa sebarang kesulitan mencapai impian hidup.
Senyumlah pada ketabahan di hati yang gembira menerima ujian dan pentarbiyahan dari Allah.Senyumlah Dia maha Pengasih lagi Penyayang,Senyumlah kerana ujian yang datang adalah sebahagian bentuk penyucian yang diinginkan Allah kepada hati dan jiwa.Andai sakit yang melanda sekalipun pedih kakimu tatkala terpijak duri ianya merupakan kaffarah kepada dosa.Perkara ini juga pernah disebut oleh RasulMu yang mulia.Usah risau pada kesedihan yang melanda jiwa kerana kesedihan yang melanda itu andai disertai dengan sabar padanya ganjaran dan penyucian pada dosa-dosa yang pernah dilakukan.Sekalipun kita bukanlah orang yang selalu menjadikan istigfar sebagai zikir yang tidak pernah lekang dari lisan saat susah mahupun senang.Tetapi kehadiran ujian itu menjadikan kita mengingati Allah setiap saat di akal dan fikiran sekalipun tidak disebut melalui lidah.Justeru perkara yang diingati tidak semestinya disebut,cukuplah sekiranya ianya sentiasa bermain di dalam minda,bahawa jiwa kita sentiasa mengingati Allah.Ianya juga merupakan zikir yang tidak langsung.Itulah hikmahnya ujian Allah.
Tetapi zikir seperti ini, menjadi sebahagian dari amalan orang-orang yang dekat kepada Allah (al-Muqarrabin)yang mana setiap saat akal dan hati mereka sentiasa mengingati Allah,hinggakan keadaan itu menumbuhkan rasa taqwa mereka kepada Allah.Sekalipun mereka tidak ditimpa musibah.Berbeza dengan setengah orang yang hanya mengingati Allah saat waktu ditimpa ujian sahaja.Tetapi saat senang kembali lupa dan jauh dari Allah.Zikir menghidupkan hati orang-orang beriman dan menghidupkan roh orang-orang beriman bahawa setiap tindak-tanduk mereka sentiasa diawasi Allah sehingga tumbuh dan subur di hati-hati mereka iman dan ihsan.Dengan wujudnya kedua-dua sifat ini, hati mereka menjadi lembut, dan mudah bersimpati kepada orang-orang miskin,fakir, anak-anak yatim dan golongan yang lemah lagi ditindas.Mereka juga akan mudah terusik dan tercabar apabila melihat maksiat yang berlaku dan tidak mampu berdiam diri melihat kezaliman.Mereka akan mula sedar dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka,hati mereka hidup di tengah-tengah kehidupan manusia yang lalai dan leka.Mereka juga akan sentiasa berkata benar sekalipun pahit.Itulah hasil dari iman.
Di manakah iman itu? Wujudkah iman seperti itu pada diri dan hati ini?Sama-samalh kita bermuhasabah,andai ianya tiada atau jauh dari diri kita,maka carilah pendekatannya.Allah tidak pernah mempersiakan permintaan hambanya.Yakinlah berdoalah selalu,Dia maha Pengasih lagi Penyayang.Ya Allah hadirkanlah iman di hati ini,kekalkan ia di hati ini sepertimana Kau kekalkan Cintamu kepada kekasihMu iaitu nabi Muhammad SAW.

No comments: