06 May 2009

Peribadi para sahabat

Wali-wali Allah tidak pernah dilanda perasaan takut kecuali kepada Allah dan tidak pula berasa sedih. Jelas terpancar keserian di wajah mereka di dunia dengan mujahadah yang dilakukan, kemanisan qiyamullail dan keyakinan mereka dengan janji Allah bahawa mereka akan melihat Allah di akhirat nanti. Mereka menolak dunia disebabkan mereka mengetahui tentang kehinaan dunia yang boleh membawa manusia kepada kefanaan. Oleh hal demikian mereka sentiasa mengikhlaskan niat mereka dalam setiap amalan ibadah yang dilakukan dan sentiasa memerangi syaitan dengan pedang taqwa. Mereka juga di antara orang yang mengikut jejak langkah amal ibadah para sahabat dan salafu al-Soleh.
Sahabat adalah orang yang paling dekat sekali dengan nabi s.a.w, mereka di antara orang yang melihat sendiri wajah, perbuatan, sifat dan akhlak nabi dan mereka juga adalah generasi pertama yang mendapat didikan dan pentarbiyahan daripada nabi s.a.w. Kegembiraan dan kesedihan yang terpancar di wajah nabi s.a.w serta pahit manis mereka ketika bersama nabi tetap dipikul dengan penuh keikhlasan dan kesabaran demi kecintaan mereka kepada Allah dan Rasulullah. Bermula daripada ketaatan mereka kepada ajaran dan suruhan nabi setelah nabi diutuskan sebagai pesuruh Allah, mereka juga tetap menjunjung perintah nabi sekalipun selepas kewafatan beliau melalui penaklukan mereka di timur dan barat demi untuk menyebarkan agama Islam dan menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Apakah yang menjadikan mereka begitu bertenaga bersusah payah kerana Islam? Firman Allah : Maksudnya: Nabi Muhammad pesuruh Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir (musuh Allah), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadah rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari tuhan mereka serta mengharapkan keredhaanNya.Tanda yang menunjukkan mereka sebagai orang-orang yang soleh terdapat pada muka dari kesan sujud dan ibadah mereka yang ikhlas. Demikianlah sifat mereka yang tersebut dalam kitab Taurat, dan sifat mereka di dalam kitab Injil pula ialah mereka diibaratkan sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya sehingga ia menjadi kuat, lalu mengagumkan orang-orang yang menanamnya. Allah menjadikan sahabat-sahabat nabi dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu ialah kerana ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki dengan kembang biaknya umat Islam (Al-Qur’an, al-Fath 48: 29). Rahsia-rahsia kehebatan para sahabat terletak pada keihklasan mereka beribadah kepada Allah. Para sahabat sentiasa menghiasi malam-malam mereka dengan berjaga untuk bermunajat kepada Allah serta menangis dan merintih kepada Allah. Di siang hari merekalah antara mujahidin yang memacu kuda dan keluar bertempur dengan musuh. Apabila kebanyakkan orang bercakap berkenaan dunia, mereka sentiasa memandang rendah dan zuhud pada dunia kerana mereka benar-benar memahami tentang keburukan dan kefanaan dunia dan segala isinya, sehingga dunia dipandang kecil di sisi mereka. Di sebalik kehidupan mereka yang sedemikian rupa, para sahabat sentiasa berada dalam keadaan gusar dengan kehidupan di dunia ini lantaran takutnya mereka dengan segala fitnah dunia yang sentiasa berlegar di sekeliling mereka, oleh kerana itu mereka lebih memandang tinggi dengan kematian bahkan bagi para sahabat mati di medan perang itu adalah satu kenikmatan kerana kematiaan itu adalah tempat untuk mereka beristirehat . Apapun jua keadaan para sahabat, mereka tidak pernah meninggalkan kewajipan dan tanggungjawab mereka sebagai ketua keluarga, pemimpin, pendakwah, tentera Islam dan juga pelajar kepada guru yang paling agung di zaman mereka pada ketika itu iaitu Rasulullah. Selain dari itu para sahabat juga mempunyai kerjaya dan tujuan hidup yang jelas dan setiap mereka sentiasa zuhud di dunia selama melayari kehidupan ini,sepertimana sahabat yang lain,setiap para sahabat mempunyai kelebihan dan sifat zuhud yang tinggi contohnya seperti Abu Bakar r.a. seorang yang bersifat lemah lembut dan sentiasa membaca al-Quran di sepanjang malam sambil menangis, beliau juga seorang yang pemurah dan menjaga dirinya dari memakan makanan yang syubhah. Umar al-Khattab walaupun dikenali sebagai pemimpin yang tegas lagi berani, beliau juga memiliki sifat zuhud seperti merendah diri sekalipun beliau seorang khalifah, beliau sendiri tidak merasa megah dengan pangkatnya, bahkan beliau duduk di atas tanah, tidur di atas tikar dan memijak tanah dengan kakinya untuk membetulkan sesuatu banggunan. Umar juga tidak menggunakan harta-harta umat Islam untuk kepentingan diri dan keluarganya serta sentiasa berwaspada dengan tipu daya dunia. Di antara para sahabat yang paling banyak bersedekah di jalan Allāh ialah Abd al-Rahmān bin Aūf tergolong sepuluh sahabat yang yang diberikan khabar gembira oleh Rasulullah untuk masuk ke syurga. Abd al-Rahmān memeluk agama Islam sebelum Rasulullah menjadikan rumah al-Arqam Abī al-Arqam sebagai pusat dakwah. Beliau mendapat hidayah Allah selepas Abū Bakar memeluk agama Islam. Beliau juga di antara sahabat yang dermawan dan paling kaya dari segi harta. Hal ini dapat dilihat ketika di dalam perang Tabuk, iaitu perang terakhir yang disertai nabi bagi menentang tentera Rom, nabi Muhammad memerlukan banyak dana apatah lagi pada masa itu Madinah berada di musim panas dan perjalanan ke Tabūk sangat jauh dan sulit hinggakan Rasulullah sendiri terpaksa menolak penyertaan sesetengah tentera yang ingin menyertai peperangan itu disebabkan kenderaan yang tidak mengcukupi. Mereka yang dapat memberi sumbangan apatah lagi tidak dapat menyertai peperangan tersebut pulang dengan air mata bercucuran kesedihan, kerana tidak mempunyai apa-apa untuk disumbangkan, sehinggalah Rasulullah mengarahkan kaum muslimin mengorbankan harta mereka. Pada masa itu Abd al-Rahmān bin Aūf tidak terlepas mendermakan barang yang bernilai berupa emas sehingga beliau tidak meninggalkan apa-apa lagi untuk keluarganya kecuali perasaan yakin bahawa Allah akan sentiasa memeberikan rezeki kepada hamba-hambanya secara berterusan. Kekayaaan yang dimilikinya tidak sedikit pun memepengaruhi jiwanya yang penuh keimanan dan taqwa bahkan beliau sentiasa mendermakan hartanya sekalipun di hujung hayatnya. Setelah nabi wafat beliaulah yang menjaga keperluan Ummahāt al-Mukminīn iaitu para isteri-isteri nabi s.a.w . Mucaz di antara orang golongan pertama yang masuk Islam. Beliau seorang yang faqih dalam persoalan hukam-hakam sehingga beliau mendapat pujian daripada nabi s.a.w. Kecerdasan otaknya dalam berfikir setaraf dengan Umar al-Khattāb. Beliau meninggal dunia sekitar umur 33 tahun. Seorang yang cintakan ilmu dan sering menyeru manusia kearah menuntut ilmu. Menurut Mucaz ilmu ialah mengenal dan berlamal. Kata beliau, “Pelajarilah segala ilmu yang kalian sukai, tetapi Allah tidak akan memberi kalian manfaat dengan ilmu itu sebelum kalian mengamalkannya lebih dahulu.” cImran bin Husaian merupakan sahabat yang sangat jujur, soleh dan zuhud dan sangat mencintai Allah. Walaupun beliau telah mendapat hidayah daripada Allah namun beliau sentiasa menangis apabila menilai dan mengamati kebesaran Allah. Dalam beribadat kepada Allah, cImran tidak mahu diganggu oleh sesuatu pun. Beliau menghabiskan waktu ibadahnya seolah-olah beliau tenggelam dalam ibadat, hingga seakan-akan beliau bukan penduduk bumi yang didiaminya. Ketika berlaku pertentangan di antara Alī dan Muāwiyah, Imran tidak bersikap memihak kepada sesiapa, bahkan beliau menasihatkan para sahabat supaya tidak campur tangan dalam peperangan tersebut dan seharusnya umat Islam mempertahankan agama dan membelanya dengan sebaik mungkin. Beliau juga berkata: “Aku lebih suka menjadi pengembala rusa di puncak bukit sehinga aku meninggal daripada melepaskan anak panah kepada salah satu pihak”. Kepada umat Islam yang ditemuinya beliau menasihati mereka supaya tidak menyertai pertentangan antara Alī dan Muacwiyah. Beliau menyuruh kaum muslimin mengambil langkah untuk tetap berada dalam masjid, atau tinggal di dalam rumah dan sekiranya ada yang datang untuk merampas harta dan nyawa maka bunuhlah mereka. Beliau adalah sahabat yang memiliki jiwa yang halus hati yang lembut dan sentiasa mengingati Allah. Selain dari Hasan al-Basrī yang terkenal dengan sifat warac dan zuhud di kalangan tabicin, Al-Sya'bī atau Amir bin Syurahil bin cAbd bin Dhu Kibar adalah nama sebenar al-Sya'bi. Dhu Kibar adalah nama kabilah di wilayah Yaman. Seorang yang mempunyai ingatan yang kuat, beliau di antara Tabi'in yang berguru dengan Abdullah Ibn Umar al-Khattāb dalam bidang hadith. Beliau sempat berjumpa dengan 500 orang sahabat yang masih ada samasa hayatnya. Di antara mereka ialah Alī bin Abi Tālib, Sa'ad bin Abi Waqas, Zaid bin Thābit, Abu Said al-Khudrī, Ubādah bin Al-Sāmit, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Abu Hurairah, Ummu al-Mukminīn Aisyah dan selainnya. Beliau seorang tabi'in yang sangat cintakan ilmu, kuat beramal dengan ilmunya, mempunyai sifat tawaduk, tidak suka dipuji dan juga alim dalam bidang fekah. Selain dari itu, di antara khalifah Islam yang bersifat zuhud dan faqīh tentang perihal agama ialah Umar Abd al-Azīz. Khalifah yang sentiasa mengajak masyarakatnya supaya bertakwa, zuhud dalam kehidupan dunia dan mencintai akhirat . Gambaran kehidupan para sahabat dan tabicin menunjukkan bahawa mereka adalah di kalangan orang-orang soleh yang memiliki sifat zuhud, kuat beribadah dan faqīh dalam persoalan berkaitan agama. Mereka bukan di kalangan orang yang jahil atau hanya menghabiskan kehidupan harian mereka dengan beribadah semata-mata seperti pertapaan di tempat yang sunyi, meninggalkan urusan dunia atau kewajipan dakwah dan kewajipan terhadap keluarga. Namun mereka adalah orang-orang yang menjadikan setiap ruang lingkup kehidupan mereka hanyalah untuk mencari keredhaan Allah dalam setiap aktiviti kehidupan mereka menjadikan diri mereka bermanfaat kepada muslim yang lain. Di dalam karangannya Bahr al-Dumu' beliau menyebut berkaitan keharusan berwaspada daripada dunia, kata beliau “Hendaklah kamu berwaspada dengan dunia, kerana orang yang terpedaya dengan dunia tidak pernah merasa cukup. Justeru itu cukupkanlah engkau dunia ini dengan bekalan dan ketahuilah kamu pada satu saat nanti kamu akan mati”.

No comments: