03 August 2007

Orientalisme

SEJARAH KELAHIRAN Ketika Islam mula berkembang dengan ilmu dan maju di Baghdad dan Cordova pada masa itu Eropah masih lagi berada di zaman kegelapan dan mundur di sebabkan itu ramai di antara orang-orang barat berhijrah ke Andalus untuk mencari ilmu dan ilmu-ilmu itu yang menghidupkan kembali negara Eropah dari kegelapan. Apabila Andalus di Eropah berjaya ditawan oleh kerajaan Islam, kesan daripada itu , masyarakat barat mula takjub dengan bentuk ketamadunan Islam yang dibawa oleh para ulama melalui teori ilmu . Universiti Cordova mula menerima kebanjiran orang-orang Eropah terutama rahib-rahib yang datang untuk mempelajari tentang ilmu-ilmu Islam apatah lagi dasar Universiti Cordova bersifat terbuka di samping penggunaan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi pada kurun ke-12 dan 13 . Kitab-kitab Arab mula diterjemahkan dan disebarkan ke serata Eropah , buku-buku karangan Ibn Tufail dan Ibn Rush menjadi rujukan utama di Universiti Cordova sehingga akhir kurun ke-15 . Pada kurun ke-18 , Barat meneruskan propaganda mereka yang keseterusnya dengan penjajahan keatas negara-negara Islam, disamping itu juga mereka mengambil peluang untuk memulakan misi dakyah mereka melalui tulisan-tulisan ilmiah yang diselewengkan oleh golongan Orientalisme. Pada akhir kurun ke-18M, fahaman Orientalisme mula tersebar dengan meluas di Britain pada tahun 1779M dan di Perancis pula pada tahun 1799M, pada tahun 1838M perkataan Orientalisme telah dimasukkan ke dalam kamus akedemik Perancis. Dianggarkan 250 000 kitab-kitab ilmiah dipindahkan ke Eropah yang dipercayai masih kekal sampai hari ini dalam keadaan buku-buku itu diterjemahkan dan diselewengkan kandungannya . ( Nik Azran & Mohd mahadi 2004:154 – 155 ) Gerakan Orientalisme bermula dengan pengajian bahasa Arab dan pengajian Islam seterusnya ia berakhir setelah berlakunya penjajahan yang dilakukan oleh orang-orang Barat ke atas negara-negara umat Islam di seluruh dunia yang mana dengan jajahan itu mereka telah berjaya merosakkan tamadun Islam , pegangan , tempat tinggal dan bahasa rasmi orang timur .
Ada juga pengkaji yang menyifatkan gerakan orientalisme bermula pada akhir kurun kesepuluh masihi dan awal kurun ke sebelas di Perancis bilamana seorang Rahib dari Perancis, Gerbert de Oraliac ( 934 – 1003M) bermusafir ke Andalus di zaman kebangkitan Islam dan mempelajari bahasa Arab di samping mempelajari ilmu falak , kedoktoran, kimia dan falsafah. Beliau juga mempelajari ilmu-ilmu agama sehinggakan beliau dikatakan di antara orang yang terlalu banyak ilmu pengetahuan tentang ilmu-ilmu Islam terutama sekali dalam ilmu Matematik dan astronomi. Setelah itu beliau berhijrah ke Rom dan membentuk tiga buah sekolah untuk pengajian bahasa Arab dan menterjemahkan buku-buku Arab dalam ilmu matematik dan falak ke bahasa Latin . ( Muhammad Baha’uddin 2003:9-10 ) Selepas kekalahan Barat dalam perang Salib, masyarakat barat begitu takut dengan kekuatan Islam dan mereka cuba mencari-cari kelemahan umat Islam dengan itu mereka memfitnah orang Islam sebagai golongan pengganas dan suka melakukan kerosakkan. Mereka juga tahu bahawa umat Islam adalah golongan yang tidak takut untuk mati dalam mempertahankan Islam disebabkan itu para orientalisme telah cuba mencabut roh-roh jihad yang ada dalam hati-hati umat Islam melalui penjajahan . Tidak kurang dari itu mereka juga mengkaji tentang pegangan umat Islam berpandukan ilmu yang benar melalui lisan para Anbiya’ dan wahyu Ilahi dan mereka cuba memesongkan ajaran– ajaran islam yang tulin dengan penerapan syak mengenai Al-quran dan sunnah dan mencipta ideologi baru seperti sekularisme serta mengabungkan kalimah Islam dengan kalimah lain seperti Islam liberal , memecahkan kesatuan ummah dan sebagainya .
MATLAMAT ORIENTALISME
Matlamat sebenar Orientalisme adalah untuk menghancurkan akidah dan pegangan umat Islam dan menghalang kebangkitan Islam dari segi ekonomi, politik , undang-undang dan tamadun . 1 . Membina batu pemisah antara Islam dan Barat dari segi thaqafah dan imej . 2 . Menimbulkan keraguan di kalangan intelektual Islam , seperti melebelkan Islam menentang kemajuan dan menganjurkan keganasan . 3 . Menjauhkan umat Islam daripada akidah dan syariah Islam seperti mengatakan hukum-hukum Islam adalah bersifat kolot dan tidak sesuai dengan peredaran zaman . 4 . Melemahkan tali persaudaraan umat Islam seperti memecah-belahkan kesatuan ummah dengan acuan ideologi yang dicipta . 5 . Menguasai ekonomi dan politik umat Islam melalui perkataan rundingan damai dan penjajahan . 6 . Menyebarkan pemikiran barat dalam kehidupan umat Islam . 7 . Membahagikan Negara Islam kepada negeri-negeri yang kecil mengikut sempadan masing-masing sehingga berlaku perbalahan sesama umat Islam . 8 . Menjadikan undang-undang rekaan barat sebagai undang-undang di negara umat Islam . Di dalam kitab Al-Nadwah Al-Alamiyah menyebut matlamat Orientalisme terbahagi kepada empat bahagian : 1. Al-hadaf Al-Dini . Mereka telah menimbulkan perasangka tentang kerasulan nabi S.A.W dan mendakwa bahawa hadis-hadis nabi adalah rekaan- rekaan orang Islam pada awal kurun ke tiga . Menimbulkan perasangka buruk terhadap kebenaran Al-quran , membawa Islam kepada sumber Yahudi dan Kristian , mengajak orang Islam kepada memeluk agama Kristian dan menggunakan hadis dhoif dan cerita-cerita yang direka dalam menyampaikan pandangan mereka tentang Islam. 2 . Al-hadaf Al-Tijari Mereka menyekat pemasaran barang dari negara Timur dan mengkaji kedudukan ekonomi orang Islam dan hal ini berlaku sebelum penjajahan Barat ke atas Negara Islam iaitu pada kurun ke 19 dan 20 . 3 . Al-Hadaf Al-Siyasi Melemahkan persaudaraan sesama Islam dan menceroboh Negara umat Islam dengan penaklukan ke atas tanah-tanah orang Islam. Menggalakkan orang Arab menggunakan lahjah ammi ( bahasa pasar ) dalam percakapan seharian . Mempelajari bahasa-bahasa orang timur di sesebuah negeri , budaya dan agama mereka supaya mereka mengetahui cara untuk berpolitik dan memerintah negeri itu . 4 . Al-Hadaf Al-Ilmi Al-Kholis Sekalipun ramai Orientalis yang mempelajari tentang Islam dan menyelewengkan ilmu namun ada juga gelongan Orientalis yang mengkaji tentang Islam dan dan memeluk agama Islam seperti seorang Oerientalis yang berasal dari Perancis yang tinggal di Al-geria . ( WAMY 1989: 27-28) KENYATAAN ORIENTALISME TENTANG ISLAM
Banyak andaian yang direka oleh Orientalisme dalam usaha mereka untuk merosakkan akidah Islam di antaranya , mereka menganggap Al-quran adalah tulisan yang direka khas oleh Muhammad yang mana mereka menyifatkan Nabi Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang penyair dan apa yang ada di dalam Al-quran adalah hasil daripada susunan Muhammad yang dibantu oleh sumber-sumber Yahudi dan Kristian. Nabi Muhammad telah diandaikan menerima pengajaran mengenai agama Kristian dan agama Yahudi sama ada ketika pengembaraan Baginda atau ketika Baginda berada di Makkah atau di Madinah. Dari segi sejarahnya adalah betul bahawa ada dua paderi Qays bin Sacidah dan Asad bi Kacab yang pernah menyampaikan khutbah-khutbah mereka kepada orang-orang Arab semasa pesta yang diadakan di Ukaz yang terletak berhampiran Makkah, tetapi malangnya fakta berhubung dengan teori bahawa mereka mempengaruhi nabi S.A.W adalah salah kerana kedua-dua paderi tersebut meninggal lebih satu abad sebelum kelahiran Muhammad S.A.W . (Mohamad Khalifa 1994:16) Salah seorang dari Orientalis Inggeris Cromer berkata orang-orang islam tidak mampu mencapai kemajuan dan ketamadunan kecuali selepas mereka meninggalkan agama Islam dan golongan Orientalisme juga berpendapat orang-orang Islam memusuhi kebangkitan kemajuan dan ilmu sedangkan mereka lupa bahawa mereka sendiri banyak mengambil ilmu-ilmu Islam menjadi Ilmu mereka sehingga kini . Mereka juga mendakwa bahawa Islam menyebarkan agamanya melalui pedang manakala orang-orang Kristian menyebarkan agama mereka dengan pendekatan ikatan hati dan kasih sayang.( Syauqi Abu Khalil 1998: 98/ 147 ) Islam mengajar kita supaya bersikap tegas dengan musuh dan bukanya bersikap lemah-lembut dengan mereka . Firman Allah
(Wahai orang-orang yang beriman ! Sesiapa yang murtad dari agamanya , maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia, mereka bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah , dan mereka tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela)Al-anfal Banyak contoh-contoh dalam peperangan yang menunjukkan orang-orang kafir bersifat buruk terhadap orang-orang Islam dalam peperangan . Di zaman Solahuddin ayyubi. apabila tentera Salib menawan kota baitul Maqdis, semua orang dibunuh oleh mereka tidak kira jantina, orang tua, kanak-kanak dan lain-lain . Baitul maqdis menjadi kolam darah pada ketika itu . Tetapi bilamana Solahuddin menawan kembali kota Baitul Maqdis, beliau tidak berbuat begitu. Bahkan Barat sendiri malu dengan fakta ini. Pertumpahan darah yang berlaku di Negara-negara Islam seperti di Iraq , Afhagnistan dan Pelestin pada hari ini jelas menunjukkan apa yang dikatakan Orientalisme tentang pendekatan yang dibawa oleh musuh-musuh Islam dalam penyebaran agama mereka dalah tersasar sama sekali . قوله تعالى يريدون ليطفئوا نور الله بأفواههم والله متم نوره ولو كره الكافرون (Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah ( agama Islam ) dengan mulut mereka,sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya)
PENYEBARAN ILMU ORIENTALISME Banyak pusat-pusat pengajian ilmu ketimuran yang dibina di negara Barat yang mana pusat pengajian ini telah ditetapkan silibus-silibus tertentu untuk pengajian pelajar-pelajar di situ. Tujuan pusat-pusat pengajian ini dibuka adalah untuk menanam fahaman Orientalisme dalam pemikiran para pelajar dan intelektual. Di antaranya Qozan University , Rusia (1807M) Moscow University (1911M) Arab and Islamic History Knowledge School Germany , Oriental School Italy , Arab Spain School Madrid ( khas untuk thaqofah Arab ) Egypt School ( khas untuk ilmu syariah ) Madrid, English University Lahut Mesir , Yasuciyah University Beirut, Oxford University, Cambridge University, California, Texas and Chicago Universities.
Mereka juga menterjemahkan karya-karya dan hasil tulisan dan pemikiran orang orang-orang Islam di antaranya kitab Geografiah Abu Fida’ di terjemahkan oleh Gobar France , kitab Rehlah Ibn Jabir oleh Baron (1879M) Terjemahan kitab Al-Buldan karangan Al-Yakqubi oleh Juston Fitt.Tarikhul Qubaisi oleh Father Parjis (Perancis) Mir’at Al-kimia oleh Roger Bacon(1251). Mereka juga menerbitkan majalah dan akhbar seperti surat khabar Al-ahram Mesir, Islamic Magazine yang diterbitkan di Perancis pada tahun 1895 dan Islamic Encyclopedia pada tahun 1913M-1938M dalam Bahasa Perancis, Inggeris dan Jerman. ( Nik Azran & Mohd mahadi 2004: 160-174) PERANAN DA'IE MENGHADAPI FAHAMAN ORIENTALISME Melihat kepada pengaruh Orientalisme yang ada pada hari ini di kebanyakkan negara umat islam, kita dapati perancangan Orientalisme dan sekutu-sekutunya telah mencapai kehendak yang mereka inginkan terhadap umat Islam. Namun sebenarnya sebagai pendakwah kita mestilah ingat bahawa Islam pernah mencapai kemenangan dan kebangkitan pada suatu ketika dulu sehingga musuh-musuh Islam mencari jalan untuk memusnahkan kebangkitan itu dan pada hari ini kita sebagai umat Islam mestilah mengembalikan semula sinar kegemilangan Islam itu sekalipun cabaran kita hadapi kini terlalu besar. Reformasi yang dibawa oleh Nabi S.A.W kepada umat Jahiliyyah di zaman dahulu jelas menunjukkan akidah yang benar dan mantap dapat mengembalikan seseorang kepada kehidupan yang baik. Rasulullah dibangkitkan ketika paras akhlak masyarakt Arab berada di tahap yang paling bawah dalam berbagai aspek, kezaliman, pelacuran, arak dan judi menjadi sifat masyarakat Jahiliyyah ketika itu. Setelah dakwah diterima oleh kebanyakkan orang, nilai-nilai kehidupan yang murni dapat dikembalikan.
Seseorang pendakwah hendaklah memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan dakwah-dakwah mereka dengan tidak mengira tempat dan keadaan supaya umat Islam kembali sedar,faham dan mengamalkan method cara hidup Islam. Islam adalah penyerahan diri manusia kepada Allah tuhan yang esa dan untuk maksud yang itu, ia berjuang mengeluarkan manusia dari kekuasaan sesama manusia dan perhambaan kepada sistem manusia. (Syed Qutub 1988: 43-45) Orientalisme dan musuh-musuh Islam banyak mencipta ideologi baru di era kemodenan ini dan kesan dari ideologi ini dapat disaksikan sendiri melalui gaya hidup masyarakat Islam pada hari ini. Untuk itu pendakwah Islam hendaklah menggunakan pendekatan yang sesuai untuk menarik minat mad'u kepada Islam. Sekiranya mad'u itu di kalangan orang awam yang tidak berpendidikan, hendaklah kita menggunakan uslub yang baik dan menyentuh hal-hal berkaitan hati dan sensitiviti masyarakat pada masa kini kerana golongan sebegini lebih cenderung kepada masalah perasaan berbanding menggunakan akal.Mereka juga mudah terkesan melalui kisah-kisah orang-orang soleh, para wali Allah dan perjalanan sirah Nabi S. A.W. Jika Mad'u itu orang yang berpendidikan dari sesebuah Universiti, ini menunjukkan mereka adalah orang-orang yang berpengetahuan dan mereka juga lebih cenderung kepada sesuatu perkara yang berkaitan dengan jalan penyelesaian, mencari kesimpulan, pengertian dalil dan bukti-bukti, ketika bercakap dengan mereka pendakwah mestilah menjaga kedudukan mereka sebagai orang yang berilmu. Bagi intelektual yang takhasus dalam bidang profesional, maka pendakwah mestilah mengetahui sedikit-sebanyak hal-hal berkaitan undang-undang yang baik dan sebaliknya. Sekiranya pendakwah berhadapan dengan mad'u di kalangan ahli kedoktoran maka pendakwah hendaklah mengetahui sedikit-sebanyak tentang ilmu kedoktoran supaya pendakwah dapat menarik minat para doktor tentang kebesaran Allah dalam mencipta anggota badan manusia. Sekalipun pendakwah itu dari kalangan orang yang takhasus dalam bidang pengajian Islam, maka mereka hendaklah mempelbagaikan pengetahuan mereka dalam pelbagai ilmu.( Hamam2000:49-50) Konteks pendekatan dakwah menunjukkan setiap pendakwah mestilah menjadi seseorang yang berseni dalam menyampaikan dakwah bersesuai pula dengan saranan nabi yang menyeru manusia supaya bercakap mengikut kefahaman akal-akal sesuatu kaum. Di era ini pendakwah mestilah membuat persediaan yang rapi dari segi kefahaman dalam sesuatu ilmu, mempunyai iman yang kuat serta amal yang berterusan yang mampu menjadi perisai dalam kehidupan mereka sepertimana yang disebut oleh Doktor Abdul karim Zaidan dalam kitab Usul Al-dakwah.